Selasa, 4 Mei 2010

Rindu...

Rindu itu adalah
Anugerah dari Allah
Insan yang berhati nurani
Punyai rasa rindu
Rindu pada kedamaian
Rindu pada ketenangan
Rindukan kesejahteraan
Dan juga kebahagiaan
Orang-orang yang bertaqwa
Rindu akan kebenaran
Kejujuran dan keikhlasan
Keredhaan Tuhannya
Orang mukmin merindukan
Anak-anak yang soleh
Isteri-isteri solehah
Keluarga bahagia
Para pencinta kebenaran
Rindukan suasana
Masyarakat yang terjalin
Aman dan sejahtera
Merindukan tertegaknya
Kalimah Allah di muka bumi
Dan dalam merindukannya
Keampunan Tuhannya
Dan seluruh umat itu
Merindukan cahaya
Yang menyinari kehidupan
Rindu pada Tuhan

Lagu rindu ini sesuai untuk insan yang dilanda kerinduan....
Smoga rinduku ini menguatkan lagi diriku untuk terus beribadat kepada yang Esa...
Rindu itu sebagai penguat semangat daku di kala kesunyian...
Sebagai bekal bertemu Rabbi Izzati...
Sebagai bekal penguat jiwa mengharungi onak duri kehidupan...
Oh Tuhan gantilah rinduku pada suamiku kepada rindu padaMu...
Ya Rabbi...
Ya Rahman ...
Ya Rahim...
Hanya kepadaMu ku memohon segala kerinduan ini terubat....
Bertemu dan berpisah tak jemu kerana Dia yang menjadi matlamat hidup ini...

Khamis, 22 April 2010

Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ)

Perkahwinan jarak jauh jarang berlaku atas kehendak pasangan yang berumahtangga. Lazimnya ia berpunca daripada komitmen kepada kerja seperti doktor, jurutera carigali, guru malah mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Kita perlu ingat, manusia dikurniakan oleh Allah kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran hatta dalam situasi yang paling sukar. Justeru, kemampuan seorang suami dan isteri menyesuaikan diri dengan jarak yang memisahkan mereka, tidak harus menjadi satu-satunya penentu kepada baik atau tidaknya PJJ itu.

Perkahwinan ada tujuan.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” [al-Room 30: 21]

Rumahtangga adalah tempat manusia mengecap damai. Sakinah dikurniakan Allah apabila seorang suami berada di sisi isteri, dan demikian juga sebaliknya. Inilah faktor terbesar mengapa di zaman Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, beliau membuat polisi tidak membenarkan tentera keluar berperang meninggalkan isterinya lebih daripada empat bulan, atau enam menurut pendapat lain.

Suatu malam, Umar mendengar seorang wanita menyanyikan sebuah syair yang menimbulkan rasa takut yang luar biasa kepada Amir al-Mu’minin:

Malam ini terasa panjang,

Aku dibalut kegelapannya,

Mataku enggan lena,

Tiada teman untuk bersenda,

Demi Allah, jika tidak kerana takutku kepada-Nya,

Bergoncanglah katil ini dari sisi ke sisi!

Umar memanggil wanita itu dan bertanyakan perihal dirinya. Beliau menceritakan keadaan dirinya yang ditinggalkan suami atas misi ketenteraan untuk satu tempoh yang panjang. Mendengar akan hal itu, Umar bertanya kepada anak beliau, Hafsah radhiyallahu ‘anha, yang ketika itu adalah balu kepada Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Soal beliau “berapakah tempoh seorang wanita mampu berpisah dengan suaminya?

Hafsah menjawab, “empat bulan!”

Lalu Umar menetapkan polisi agar tenteranya tidak pergi menyertai misi ketenteraan lebih daripada empat bulan.

Seorang suami yang meninggalkan isteri kerana kekangan kerja, harus untuk meninggalkannya lebih daripada tempoh itu jika isteri memberi restu. Hak yang terbabit adalah hak isteri untuk digauli oleh suaminya. Namun apakah kita secara mudah mengambil pilihan yang paling berisiko itu? Apakah harga yang mampu dibayar atas kehilangan masa-masa yang berharga, tambahan pula jika anak-anak turut terbabit sama.

Isteri mempunyai hak ke atas suami.

Suami mempunyai hak ke atas isteri.

Anak-anak, mudah-mudahan dikurniakan rezeki beroleh anak, juga ada hak ke atas ibu dan bapa.

Kesempurnaan fizikal, mental, emosional, spiritual, memerlukan didikan dengan kombinasi ayah dan ibu. Andai berpisah nyawa, atau talaq sudah membataskannya, tiadalah banyak yang boleh dikata. Namun dengan sengaja membiarkan jarak memisahkan suami dan isteri ketika pilihan yang lebih baik itu ada, falaa yalumanna illa nafsah, yakni janganlah disalahkan sesiapa kecuali dirinya sendiri!

Berusahalah untuk segera kembali bersama.

Di satu sudut yang unik di Malaysia, jururawat yang mahu bekerja di negara Arab, mesti berbincang dengan baik bersama suami. Tempoh kerja mestilah mematuhi perjanjian yang disepakati. Jangan sewenang-wenangnya membiarkan suami di tanah air. Jangan biarkan dirimu selesa dengan perpisahan itu.

Antara keelokan Islam, ia bukan sahaja memuliakan pernikahan, malah tegas menutup pintu-pintu fitnah dan kemusnahan.

Berusahalah!

Dipetik dari;

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Ahad, 18 April 2010

Izin Bukan Bererti Redha

Izin Bukan Bererti Redha

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Saya tidak suka terlalu berfalsafah dalam bicara. Tujuan ucapan dan ungkapan adalah untuk difahami oleh pendengar atau pembaca, bukan agar mereka bertambah pening. Pun begitu ada juga beberapa istilah yang perlu diperbetulkan, bukan kerana ingin berfalsafah tetapi kerana ia penting untuk difahami untuk mengelakkan salahfaham antara kaum muslimin.

Antara perkara yang penting untuk dibezakan ialah ungkapan ‘izin’ dan ‘redha’. Kedua-dua perkataan ini berasal dari bahasa Arab. Apa yang kita izinkan bukan semestinya kita redha. Juga apa yang kita redha bukan semestinya kita izinkan. Juga mungkin apa yang kita izinkan itu kita redha, atau sebaliknya juga mungkin apa yang kita redha maka kita izinkan. Mengizinkan bermaksud membolehkan sesuatu itu berlaku (lihat: al-Kafawi, al-Kulliyyat, 72, Beirut: Muassasah al-Risalah). Sementara redha bermaksud suka atau kasih kepada sesuatu. Disebut al-Mahabbah wa al-Ridha atau cinta dan redha (ibid 76).

Kita mungkin memberikan kebenaran atau memboleh sesuatu yang di bawah penguasaan kita berlaku dalam keadaan redha ataupun tidak redha. Apa yang kita izinkan bukanlah semestinya kita redha atau suka. Umpamanya jika seseorang pemerintah muslim mengizinkan bukan muslim membina rumah ibadah mereka, bukanlah semestinya bererti pemerintah tersebut meredhai kekufuran atau penyembahan selain daripada Allah.

Demikian juga apabila pemerintah tertentu mengizinkan mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti minum arak atau berjudi dalam premis mereka, bukanlah bererti pemerintah tersebut telah menghalalkan arak atau judi. Keizinan itu diberikan disebabkan kerana hak-hak mereka sebagai bukan muslim dalam mengamalkan agama dan cara hidup mereka.

Pemerintah mengatur urusan rakyat dengan adil dan saksama. Keizinan atau kelulusan yang diberikan oleh pemerintah bukan menunjukkan akidahnya telah rosak atau dia telah menghalalkan yang haram. Melainkanlah jika perasaan dia itu memang redha atau dia sendiri melakukan perkara-perkara yang menunjukkan dia redha. Ketika itu barulah datang penilaian di sudut akidah.

Apa yang ingin dijelaskan bukan semestinya setiap yang diizinkan itu diredhai oleh seseorang. Saya misalkan, seorang anak yang mendesak ayahnya memberikannya kunci kereta kerana ingin keluar bersama dengan rakan-rakannya. Si ayah enggan memberi kerana bimbang anaknya tidak tahu mengawal diri apabila keluar bersama rakan.

Namun si anak terus mendesak dan bertegang dengan ayahnya sehingga menyebabkan si ayah akhirnya memberikan kunci kepada si anak. Anak ini pun keluar berjumpa dengan rakan-rakannya sambil berkata: “ayahku izinkan aku pakai keretanya malam ini”. Sementara si ayah apabila ditanya berkata: “memang saya izinkan tapi saya tidak redha, sebab dia mendesak dan saya malas bising-bising”.

Keadaan ini menggambarkan bagaimana kadang-kala keizinan diberikan tanpa keredhaan atau kerelaan. Betapa ramai wanita zaman tahu yang mengizinkan bapa mereka mengahwinkan mereka, sedangkan jantung hati mereka tidak redha.

Di samping ada keadaan di mana kita izinkan sesuatu dengan penuh redha. Juga ada keadaan di mana kita meredhai sesuatu tetapi tidak dapat mengizinkannya. Kita tidak izinkan mungkin disebabkan faktor-faktor tertentu.

Sebab itu dalam al-Quran Allah gunakan perkataan masyiah atau kehendak dan dalam masa yang sama ada perkataan redha. Manusia menjadi beriman dan kufur adalah dengan kehendak atau izin Allah. Jika Allah tidak izin atau kehendak, maka tiada satu perkara pun yang boleh berlaku di alam ini.

Namun bukan semestinya apa yang Allah izinkan berlaku itu, Allah meredhainya. Firman Allah: (maksudnya)

“Maka (fikirkanlah) adakah orang yang dihiaskan kepadanya amalan buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya baik, kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan dia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah kamu membinasakan dirimu (Wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan” ( Surah al-Fatir, ayat 8).

Allah menyesat sesiapa yang Dia Kehendaki kerana mereka memilih kesesatan, demikian memberikan petunjukNya kepada sesiapa yang ingin memilih petunjuk. Itulah peraturan alam yang Dia Maha Pencipta lagi Maha Adil tetapkan. Dia tidak menzalimi hamba-hambaNya.

Apabila kekufuran atau kemaksiatan atau kesesatan itu berlaku bukanlah Dia redha atau sukakan kekufuran sekalipun berlaku dengan izin atau kehendakNya. FirmanNya: (maksudnya) “Kalaulah kamu kufur akan nikmat-nikmatNya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak memerlukan kamu; dan Dia tidak redha untuk hamba-hambaNya kekufuran; dan jika kamu bersyukur, Dia meredainya untuk kamu..(Surah al-Umar, ayat 7).

Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan makhluk. Namun untuk mendekatkan faham, demikian insan dalam hidup ini mestilah dibezakan antara keizinan dan keredhaan. Dalam perjanjian Hudaibiyyah Nabi s.a.w dan Musyrikin Quraish Mekah, baginda ingin agar kepala perjanjian itu ditulis dengan Bismillah al-Rahman al-Rahim.

Namun wakil Quraish, Suhail bin ‘Amr tidak bersetuju. Dia mahu supaya ditulis seperti kebiasaan Quraish dalam menulis perjanjian iaitu BismikaAllahumma (Dengan NamaMu Ya Allah). Nabi s.a.w bersetuju dan mengizinkannya, walaupun hakikatnya baginda tidak redha demikian. Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.

Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut.

Saya jelaskan noktah perbezaan ini untuk mengelakkan tuduh-menuduh sesama umat Islam dalam banyak perkara. Isu nama Allah umpamanya, menjadi tegang dalam kalangan umat Islam sendiri sehingga ada yang tuduh menuduh dengan kufur dan sesat. Ada yang menyatakan pihak yang membiarkan penggunaan nama Allah dalam kalangan bukan Islam bererti telah redha dengan kekufuran. Maka sesiapa yang redha dengan kufur, maka dia pun turut kufur.

Kesimpulan yang seperti itu tidaklah tepat. Kita mungkin berbeza antara satu sama lain, namun jangan membuat kesimpulan yang tidak berlandaskan fakta. Umat Islam yang membiarkan Kristian menggunakan nama Nabi Isa dan Maryam di tempat ibadah mereka bukan bererti selama ini kita meredhai mereka mensyirikkan Allah dan mempergunakan nama Nabi Isa a.s. yang wajib kita imani itu.

Ini bukan soal redha atau tidak, tetapi soalnya apakah kadar hak mereka yang hendak atau boleh kita izinkan. Di situ perbincangannya. Kita mungkin boleh setuju atau tidak setuju mereka guna nama Allah. Saya tidak mahu membincang isu tersebut di sini. Namun saya tidak dapat terima untuk kita cepat mengkafirkan sesama sendiri. Kita tangani perbezaan itu dengan harmoni dan matang, bukan dengan kafir-mengkafir sesama muslim.

Hati-hati wahai pembaca, ramai orang di dunia ini yang sering memutar belitkan ayat dan kalimat orang lain, lalu menyalahtafsirkan mengikut kehendaknya supaya dia dapat menghukum orang yang dimusuhinya. Setiap kita akan berdiri di hadapan Mahkamah Allah di Hari Kiamat, maka bersikap adillah!

Selasa, 16 Mac 2010

Cemburu ( i )

“ Miera.. nanti dah pregnant bgatau la say yea…” saya mengungkap kata-kata ini pada suatu pagi sebelum kami berpisah. Ketika itu perasaan saya bercampur baur antara gembira dan bimbang. Gembira kerana kawan baik saya telah berkahwin dan kami mempunyai title yang sama ( sama-sama memegang jawatan isteri orang ), sedih kerana bimbang takut-takut dia mendahului saya menjadi ibu ( sebenarnya cemburu ). Kami bersama, berangan-angan untuk kahwin di alam kampus, akhirnya angan-angan itu menjadi kenyataan,tetapi saya mendahului beliau terlebih dahulu menyahut seruan berkahwin. Manakala beliau berkahwin semasa usia perkahwinan saya menjakau dua tahun. Sungguh, saya cemburu mendengar rakan-rakan saya yang mengandung, saya meraikan mereka dengan senyuman tetapi jauh disudut hati saya merasa cemburu dengan mereka. Perasaan ini sekiranya tidak dikawal boleh mengundang padah untuk diri sendiri, lagi-lagi di alam kampus yang memerlukan kekuatan yang luarbiasa bagi menempis godaan-godaan yang menyebabkan terhentinya daripada meneruskan pengajian. Pada tengahari di waktu yang lain, usai sesi pengkuliahan saya menerima satu mesej “Slm, nak bagitau Nie, Miera pregnant 6 minggu dah… Selamat jadi mak sedara” itulah antara butiran yang disampaikan. Saya gembira untuk sahabat saya yang saya kasihi,sedih pun ada kerana beliau akan bertukar kepada status yang baru dalam masa yang kurang dari setahun dan saya tetap dengan status lama saya.huhu.


Dalam diri anak adam Allah telah letakkan perasaan cemburu. Maka, pandai-pandailah mereka mengawalnya supaya setiap apa yang kita miliki itu dibawa kearah kebaikan. Perasaan cemburu jika tidak diimbangi dengan iman dan taqwa ia boleh merosakkan diri sendiri, syukur Alhamdulillah perasaan cemburu saya ini tidak memakan diri saya, kita tidak patut menzalimi diri kita dengan benda-benda yang negatif.


Adapun di dalam Islam itu dibolehkan mempunyai perasaan cemburu didalam 2 perkara iaitu :
1 ) memperbanyakkan kebaikan
2 ) dalam hal menuntut ilmu

عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِي اللَّهم عَنْه قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ وَرَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ حِكْمَةً فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا

Ertinya : Daripada Saidina Ibnu Mas’uod r.a , dia berkata : Aku pernah mendengar Baginda Nabi s.a.w bersabda : “ Tidak boleh seseorang itu mempunyai perasaan dengki MELAINKAN pada dua perkara , iaitu ( 1 ) – Dengki kepada seseorang yang diberikan Allah kepadanya harta – benda , lalu diapun membelanjakan harta itu pada jalan yang benar , dan ke ( 2 ) – Dengki kepada seseorang yang dikurniakan Allah Ta’ala dengan kebijaksanaan ( ilmu dan hikmah ) , lalu digunakannya untuk memutuskan keputusan dan mengajarkannya kepada sesama manusia “ (Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari)


Bersambung..

Ahad, 21 Februari 2010

Permulaan

Bismillahirrahmannirrahim.

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah dengan izin Allah dapat saya menulis kali ini setelah beberapa kali percubaan menemui kegagalan. Diharap blog ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang mengunjunginya, hasilnya hanya kepada Allah jualah saya mengharap.

Sesungguhnya untuk menulis atau mengarang sebuah ilmu amatlah sukar bagi saya kerana tidak mempunyai bakat yang hebat untuk menulis, sebarang teguran yang membina amatlah diharap. Mengenangkan diri ini tidak mampu memberi sumbangan yang besar kepada umat Islam, diharap yang kecil ini mampu menyumbang kearah kebangkitan umat Islam.

Wassalam.

 
© 2009 | Ummu Zuhal | Por Templates para Você | This template is brought to you by : allblogtools.com